suria

Najib Umum Peruntukan RM1.6 Bilion Majukan Peneroka Felda

LABIS: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM1.6 bilion bagi memajukan masyarakat Felda di seluruh negara untuk tahun 2011.

Berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka di Felda Chemplak di sini, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM8.5 juta daripada Felda untuk program pembangunan prasarana 500 buah lot yang akan diberi kepada generasi kedua peneroka Felda.

"Ini bukanlah sesuatu angan-angan yang direka kita ataupun janji yang tidak berpijak atas bumi yang nyata (seperti) yang mutakhir ini...mudah diluahkan oleh parti pembangkang.

"Ini adalah satu rekod pencapaian yang luar biasa yang telah diperjuangkan dan hasilnya dapat dilihat hari ini. Kejayaannya (Felda) mengubah keadaan hidup masyarakat yang bertuah kerana terpilih menjadi peneroka Felda dan bertuah kerana bernaung di bawah kerajaan kita, kerajaan Barisan Nasional ," katanya.

Najib berkata peruntukan itu membuktikan Felda sebagai sebuah institusi yang kukuh daripada segi kewangan dan pentadbiran, sekali gus membuktikan dakwaan pembangkang kononnya Felda bankrap merupakan satu taktik kotor untuk mengelirukan peneroka dan rakyat.

Katanya Felda telah melalui proses transformasi yang agresif sehingga menjadi satu gagasan yang mampu mengubah landskap sosio-ekonomi negara, terutama bagi penduduk luar bandar, secara tuntas dan berkesan.

Najib berkata dengan pendapatan masyarakat Felda hari ini melebihi RM3,000, ia membuktikan mereka bukan lagi merupakan golongan yang terletak di bawah 40 peratus masyarakat berpendapatan rendah, sebaliknya kini sudah berstatus berpendapatan sederhana.

"Bila saya dapat gambaran bahawa pendapatan telah melebihi RM3,000 oleh setiap peneroka, apa signifikannya, pertama, bila kita buat Model Baru Ekonomi, kita kata mengikut taksiran pendapatan negara, mereka yang berpendapatan rendah terdiri daripada mereka yang berpendapatan RM2,300 sebulan, itu perkiraan purata pendapatan rakyat negara kita.

"Bila saya dapat tahu peneroka Felda di sini dan seluruh negara dapat pendapatan RM3,000 lebih sebulan bererti mereka tidak lagi tergolong dalam kategori 40 peratus rakyat yang mendapat pendapatan rendah.

Felda hari ini telah secara rasminya menjadi golongan berpendapatan pertengahan dalam negara kita," katanya.

Perdana Menteri berkata menjadi tanggungjawab semua untuk bukan sahaja mengenang masa lampau dan menghargai budi Felda tetapi terus menyuburkan "apa yang ditanam, dibaja dan disiram" agar dapat memberi seribu rahmat kepada masyarakat Felda dan negara secara keseluruhan.

Terdahulu, Najib yang tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi, telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka. -BERNAMA

Artikel Lain