suria

Menara Alor Setar Kembali Beroperasi Selepas Empat Bulan Ditutup

ALOR SETAR: Menara Alor Setar yang ditutup kepada umum selama empat bulan untuk kerja menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut kini dibuka semula.

Pengurus Besarnya Mazlan Mahmud berkata menara itu mula dibuka sejak minggu lepas, namun pelancaran rasmi wajah baru kawasan tumpuan pelancong tersebut dijangka dilakukan hujung bulan ini.

"Pelbagai acara menarik telah diatur sepanjang tahun ini seperti persembahan kebudayaan dan acara tahunan iaitu 'Star Track Camp' pada waktu cuti sekolah pada Mac, dan 'Alor Setar Tower Base Accuracy Jump Challenge' pada Mei serta MAS Idol (pertandingan nyanyian)," katanya kepada Bernama, di sini, Selasa.

Mazlan berkata jumlah pengunjung ke Menara Alor Setar sepanjang 2010 sebelum ditutup pada September hingga Disember mencecah kira-kira 130,000 orang, manakala pada 2009 sekitar 200,000 pelawat mengunjungi kawasan itu.

"Dengan wajah baru serta pelbagai program yang telah diatur sepanjang tahun ini kami berharap jumlah pengunjung akan bertambah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain