suria

Mayat Wanita Dengan Kesan Terbakar Ditemui Di Kawasan Pembuangan Sampah

IPOH: Mayat seorang wanita dengan kesan terbakar di beberapa anggota badan, ditemui dalam keadaan terbaring di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir di sini, Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata mayat itu ditemui 8.20 pagi tadi oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh yang ketika itu melakukan kerja-kerja pembersihan.

Beliau berkata mangsa yang memakai seluar pendek dan baju T, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan sampah berkenaan.

Katanya, tidak ada sebarang pengenalan diri ditemui dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang melihat atau mengetahui kejadian tersebut agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, polis menahan 18 wanita warga asing termasuk 16 dari Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan C.M.Yusof di sini semalam.

Dzuraidi berkata turut ditahan ialah seorang lelaki dipercayai penjaga premis yang menguruskan tempat bagi tujuan pelacuran dan seorang wanita tempatan serta tiga pelanggan lelaki.

Mereka berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun dan ditahan reman untuk siastan lanjut, katanya.

Antara barangan yang dirampas dalam operasi itu ialah 56 keping kondom, wang tunai RM414, buku daftar hotel dan 2 botol minyak pelincir.

Beliau berkata kesemua wanita warga asing itu akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit, manakala penjaga premis pusat hiburan itu pula mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit. -BERNAMA

Artikel Lain