suria

Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Sebabkan Kematian Warga Emas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 73 tahun di sebuah taman permainan di Cheras, tahun lepas.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu terhadap K.Suppiah, 62, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Oktober tahun lepas.

Suppiah didakwa menyebabkan kematian M. Periaswamy, 73, di Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Seluang, Taman Tenaga, Batu 3 1/2 Jalan Cheras, di sini pada 12.46 tengah hari, 7 Oktober 2010.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan hanya kepada tertuduh bahkan kepada orang ramai dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Suppiah, yang dulunya merupakan pekerja kontrak, dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan kerana dia perlu menyara isteri dan empat anak.

"Saya merayu agar mahkamah memberikan saya peluang untuk mengubah cara hidup saya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain