suria

Enam Warga Asing Termasuk 3 Wanita Ditahan Cuba Seludup 56 Kg Dadah Ke Malaysia

SHAH ALAM: Lima warga Iran, tiga daripadanya wanita dan seorang lelaki warga India adalah enam warga asing yang ditangkap polis pada Khamis dan Sabtu lepas kerana cuba menyeludup masuk 56.84 kg dadah bernilai RM8.69 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner (ACP) Nordin Kadir berkata kesemua mereka ditangkap dalam tiga cubaan membawa masuk dadah jenis syabu dan ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di Sepang.

Tangkapan pertama membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki warga Iran yang baru tiba dari Tehran di LCCT pada pukul 1.30 petang, Khamis lepas, katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati setiap mereka memakai empat bengkung berisi dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 28.34 kg.

"Setiap bengkung berisi syabu seberat kira-kira empat kilogram dan kesemuanya bernilai kira-kira RM7.09 juta. Turut dirampas daripada kesemua suspek ialah wang tunai RM3,030 dan Iran Riyal 38,000," katanya.

Siasatan juga menunjukkan dua daripada tiga wanita itu mempunyai hubungan persaudaraan, katanya menambah kesemua mereka yang berumur antara 23 dan 49 tahun itu kini ditahan reman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan.

Nordin berkata tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki warga Iran juga pada hari yang sama kira-kira pukul 3 petang sejurus tiba dari Abu Dhabi di KLIA.

Pemeriksaan ke atas lelaki berusia 34 tahun itu menemui 3.5 kg syabu bernilai RM850,000 yang disorok dalam bagasinya.

"Suspek yang kali kedua masuk ke dalam negara ini direman sehingga 20 Januari ini dan kami masih siasat sama ada suspek ini dan empat suspek warga Iran yang ditangkap di LCCT itu adalah dari sindiket yang sama," katanya.

Selang sehari, polis menangkap seorang lelaki warga India yang tiba di KLIA dari Bangalore kira-kira pukul 1.15 pagi, kata beliau. Nordin berkata pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui 25 bungkusan kain ela yang setiap satu menyembunyikan sekilogram ketamin.

"Nilai rampasan ialah kira-kira RM750,000 dan suspek yang berumur 34 tahun kini direman sehingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Nordin berkata keenam-enam suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain