suria

Bekas Penyelia KEMAS Mengaku Salah Terima RM15,000

SHAH ALAM: Bekas penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) cawangan Sungai Besar, Sabak Bernam, Russ Soli Harun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan menerima RM15,000 daripada seorang kontraktor, empat tahun lalu.

Russ Soli, 58, mengaku bersalah atas tuduhan menerima sekeping cek tunai Bank Bumiputera Commerce (BBC) bernilai RM12,700 daripada Mohd Zaki Basar yang diketahui mempunyai kaitan dengan kerja-kerja rasminya sebagai seorang penjawat awam pada 27 Disember 2004.

Dia juga didakwa menerima wang tunai RM2,000 daripada Mohd Zaki yang dimasukkan ke dalam akun Bank Simpanan Nasional miliknya, pada hari yang sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima sekeping cek tunai BBC berjumlah RM300 daripada individu yang sama pada 4 Februari 2005.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Bumiputera Commerce Bhd, cawangan Sungai Besar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ng Siew Wee mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh, Russ Soli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pada hari lain bagi membolehkan dia mengumpulkan wang untuk membayar denda yang akan dikenakan.

Dia juga memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan oleh Ng atas alasan dia kini sudah bersara.

“Saya memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana anak-anak saya masih bersekolah. Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu,” rayu Russ Soli.

Azhaniz Teh membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Artikel Lain