suria

UPP Rampas Treler Bawa Beras Siam Tanpa Permit Di Kota Baharu

KOTA BAHARU: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas sebuah treler yang membawa muatan 320 kampit beras siam seberat 16 tan bernilai RM72,000 yang ditinggalkan di bahu jalan di KM 1, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, Ahad.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata rampasan kampit beras dengan setiap satu seberat 50 kilogram itu dibuat pada pukul 10 pagi ketika treler tanpa bahagian kepala itu ditinggalkan pemiliknya, diperiksa.

"Setelah menunggu lebih sejam, tiada pihak yang bertanggungjawab menuntut beras itu, anggota yang dibantu kakitangan Pejabat Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Nasional membawa treler itu ke pejabat kawal selia itu di sini untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, Isnin.

Mazlan berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah treler yang ditinggalkan di situ dalam keadaan yang meragukan.

"Kesemua 320 kampit beras siam itu tertera perkataan "Thai Hom Male Rice" pada guni, dipercayai diseludup dari negara jiran dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi Beras 1994," katanya.

Beliau berkata pemilik treler berkenaan boleh didenda sehingga RM15,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain