suria

Siti Aishah Sudah Dibawa Pulang Oleh Ibunya - Polis

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang ditemui merayau dalam keadan lemah dan comot di Damai Perdana, Cheras malam tadi telah dibawa pulang oleh ibunya pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supritendan Azman Ayob berkata Hadainah Abdullah, 29, datang ke Balai Polis Damai Perdana kira-kira pukul 10.30 pagi untuk membawa Siti Aishah Bastian, 9, pulang ke rumah mereka di Taman Bukit Belimbing, Cheras.

"Hadainah datang ke balai polis bersama beberapa orang guru dan pengetua sekolah anaknya yang kebetulan membaca akhbar mengenai penemuan Siti Aishah dan kemudian memaklumkan kepada Hadainah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada media kerana mengeluarkan berita mengenai penemuan Siti Aishah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah itu merayau seorang diri di kawasan terbabit.

Sementara itu guru besar sekolah berkenaan, Sabariah Naim berkata beliau dimaklumkan mengenai penemuan Siti Aishah oleh seorang guru lain sebelum membacanya sendiri dalam akhbar sejurus tiba di sekolah kira-kira pukul 7 pagi.

"Pada mulanya saya tidak percaya namun setelah membaca akhbar dan melihat pada gambar budak tersebut serta bertanya kepada guru-guru lain, saya kemudian mengarahkan seorang daripada mereka mencari dan menelefon ibu bapa bapa pelajar tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar hari ini melaporkan Siti Aishah ditemui orang awam merayau dalam keadaan lemah dan pakaiannya kotor di kawasan Damai Perdana pada pukul 9 malam tadi.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Damai Perdana dan polis dilapor meminta mereka yang mengenalinya agar menghubungi balai tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain