suria

PPSMI: Page Akan Serah Memorandum Kepada PM

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) bercadang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu ini agar semua sekolah kebangsaan diberi opsyen untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Page Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata memorandum itu akan memberi keutamaan aspek penting yang dibincangkan pada tiga forum bertajuk "A Discourse on Malaysia Education Policies - Science and Math in English as an Option" yang diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur bermula minggu lepas.

Katanya badan itu bukan menentang sekolah kebangsaan tetapi hanya mahu memastikan pelajar diberi peluang pendidikan terbaik dan diajar dalam bahasa yang paling sesuai.

"Kami tidak menentang pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Kami hanya mahu sekolah diberi opsyen," katanya yang turut terlibat sebagai ahli panel pada forum ketiga yang dianjurkan oleh badan itu, di sini, Ahad.

Noor Azimah berkata Page turut mengalu-alukan sokangan ibu bapa yang mahu meneruskan PPSMI.

"Kami mendesak semua ibu bapa di Malaysia untuk mendaftar sebagai ahli kami dan dengan bilangan yang lebih besar, kehadiran kita dan kedudukan kolektif ini dapat memberikan sumbangan yang signifikan terhadap perumusan dan pelaksanaan semua dasar-dasar pendidikan yang berkaitan di Malaysia pada masa depan," katanya.

PPSMI akan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris pada tahun ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain