suria

MPSJ Tak Pernah Larang Pusat Hiburan Gaji Pekerja Islam

SHAH ALAM: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan terhadap premis pusat hiburan di kawasan pentadbirannya supaya tidak menggaji pekerja Islam.

Sebaliknya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan hanya mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik premis agar menghormati permintaan kerajaan negeri supaya tidak menggaji pekerja Islam di pusat hiburan mereka.

"Sebelum ini memang tak ada sebarang larangan dibuat, tapi hanya surat yang mengingatkan supaya tak mengambil pekerja Islam.

"Dakwaan bahawa lesen tak akan diperbaharui jika tak mematuhi arahan supaya tidak menggaji pekerja Islam tak betul, malah tak ada undang-undang tambahan dalam PBT," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Bagaimanapun Abdul Khalid berkata peringatan berkenaan hanya melibatkan kumpulan pekerja Islam yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan.

"Kita cuma ingatkan supaya tak ada orang Islam terlibat dalam penjualan minuman keras, tapi di kalangan tukang cuci ada juga pekerja Islam," katanya.

Namun Abdul Khalid berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang yang melarang umat Islam bekerja di pusat hiburan yang menjual minuman keras.

"JAIS memang ada hak untuk kuatkuasakan undang-undang yang melarang itu, tapi dari sudut pelaksanaannya mereka mungkin perlukan bantuan daripad PBT," kata Khalid.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, di Subang Jaya, terdapat 170 premis menjual minuman keras dan hanya 13 premis yang menggajikan pekerja Islam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci untuk menentukan sama ada PBT boleh melaksanakan undang-undang jenayah syariah dalam by-laws atau syarat lesen.

"Kajian akan melihat kesan kepada umat Islam yang mungkin akan hilang punca pendapatan jika undang-undang jenayah syariah dilaksanakan.

"Angka yang melibatkan pekerja Islam dalam penjualan minuman keras tidak besar, jadi perkara ini boleh dikawal dengan baik," ujarnya.

Sementara menunggu kajian terperinci disiapkan, tambah beliau, Kerajaan Negeri akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan tabung bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu orang Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan itu.

"Selepas ini, semua undang-undang atau syarat tambahan yang melibatkan Undang-undang Jenayah Syariah perlu dirujuk kepada Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi tujuan penyeragaman," tegas beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Lain