suria

Malaysia, Indonesia Masih Berunding Soal Pembantu Rumah

KUALA SELANGOR: Malaysia dan Indonesia masih berunding untuk mencari jalan penyelesaian kepada beberapa isu yang berkaitan dengan pengambilan pembantu rumah dari republik itu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata antara permintaan pihak Indonesia berhubung perkara itu ialah soal pemberian cuti mingguan kepada pembantu rumah, dan kebenaran supaya setiap pembantu rumah menyimpan pasport mereka sendiri.

Bagaimanapun menurutnya berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, majikan di Malaysia didapati agak keberatan untuk memenuhi kedua-dua permintaan itu, dan ia menyebabkan rundingan masih berlarutan.

"Saya harap pihak Indonesia lebih fleksible mengenainya perkara ini. Pihak kementerian harap akan wujud pertimbangan antara kedua-dua negara dalam mencari kata sepakat, supaya perkara ini dapat digerakkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri festival 1Malaysia Ponggal yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz dekat sini, Ahad.

Subramaniam membuat kenyataan itu semasa mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai kira-kira 30,000 pembantu rumah Indonesia sedang menunggu untuk dibawa masuk ke Indonesia bagi memenuhi permintaan, walaupun penghantaran pembantu rumah ke Malaysia ketika ini dibekukan oleh kerajaan Indonesia.

Sementara itu Maglin dalam persidangan akhbar di majlis itu berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan dan MIC tidak lama lagi mengenai kemungkinan memasukkan festival Ponggal sebagai sambutan tahunan.

Beliau berkata festival itu berpotensi untuk menyatukan kaum India dalam negara dan ia seharusnya menjadi acara tahunan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain