suria

Lelaki Warga Sudan Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Bunuh Anak Teman Wanita

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, Isnin, memerintahkan seorang bekas pelajar kolej warga Sudan membela diri atas tuduhan membunuh anak perempuan teman wanitanya di sebuah kondominium di Cheras, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Mohannad Taha Ismail, 27.

Beliau menetapkan pagi esok untuk tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi membela diri.

Mohannad Taha didakwa membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, tiga tahun, di kediaman bernombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Kondominium Venice Hill, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, antara 7.30 malam dan 8.30 malam pada 12 Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin sementara tertuduh diwakili peguam J.Kuldeep Kumar.

Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mengikut keterangan saksi pakar patologi forensik, Dr Abdul Karim Tajudin sebelum ini, terdapat 34 kesan kecederaan di seluruh badan mangsa termasuk kesan cubit pada bahagian kemaluannya.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan perdarahan teruk di bahagian selaput keras otak akibat goncangan yang kuat.

Ibu kanak-kanak itu, Ellina Maulad Mahather, 25, dalam keterangannya pula memberitahu bahawa mangsa pernah mengadu ditumbuk dan dipukul oleh Mohannad Taha semasa ditinggalkan di bawah jagaan tertuduh.

Saksi itu juga mendakwa pernah melihat tertuduh memarahi dan memukul mangsa menggunakan penyangkuk baju, pembaris serta tangan.

Aaliyah merupakan anak hasil perkahwinan Ellina, bekas pelayan kelab malam, dengan bekas suaminya Ayman Hussin Mahmud sebelum bercerai pada 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain