suria

Kerajaan Kaji Kaedah Tangani Jenayah Siber Menerusi Laman Sosial - KDN

IPOH: Kerajaan kini mengkaji kaedah yang sesuai termasuk kemungkinan meminda undang-undang bagi menangani jenayah siber seperti penipuan dan pemalsuan yang dilakukan menerusi laman sosial seperti Facebook.

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata tanggungjawab itu dipikul satu jawatankuasa khas yang dianggotai kementeriannya, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Kita sudah mengadakan pertemuan beberapa kali sebelum ini untuk melihat apa saja jenayah siber termasuk bagaimana untuk menangani masalah laporan palsu dalam internet," katanya kepada pemberita selepas lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, Isnin.

Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan serta timbalannya, Datuk Zakaria Yusof.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu tersebut semakin serius dan memerlukan langkah tegas bagi menanganinya.

Mengulas isu berlainan, Lee berkata beliau berpuas hati dengan prestasi Polis Perak yang berjaya menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak 10.3 peratus, melebihi sasaran yang ditetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Polis Diraja Malaysia sebanyak lima peratus.

"Walaupun sudah mencatatkan prestasi berkenaan, Polis Perak sudah menetapkan matlamat untuk menurunkan lagi kadar indeks jenayah itu sehingga menjadikan negeri ini sebagai yang paling selamat di negara ini.

"Selaras itu, Polis Perak akan mengadakan lebih banyak dialog dengan penduduk, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta Institusi Pengajian Tinggi di negeri ini sepanjang tahun ini bagi mengenal pasti permasalahan jenayah serta mengeratkan lagi hubungan antara pasukan keselamatan itu dengan rakyat," katanya.

Chee Leong juga meminta rakyat Perak agar memainkan peranan lebih aktif dalam membantu polis menangani kes jenayah termasuk menganggotai pasukan Rukun Tetangga di kawasan masing-masing serta menjadi sebahagian daripada Rakan Cops. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain