suria

Kekurangan Sumber Pembantu Rumah Asing Dianggarkan Lebih 50,000 Orang

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan sumber pembantu rumah asing kian meruncing apabila Persatuan Agensi Pekerja Asing (PAPA) menganggarkan kekurangan itu mencecah lebih 50,000 orang.

Kira-kira 60 agensi pembantu rumah asing mengadakan pertemuan di sini pada Isnin yang dipengerusikan oleh bekas Presiden PAPA, Datuk Raja Zulkepley Dahalan bagi membincangkan hal tersebut.

Raja Zulkepley berkata, masalah ini berlarutan berikutan kelewatan proses menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung penghantaran pembantu rumah ke negara ini.

"Tidak ada apa-apa sebab munasabah untuk kita melambat-lambatkan proses tandatangan ini kerana saya rasa isu mengenai cuti dan pasport telah selesai setelah mengadakan perundingan dengan pihak Indonesia baru-baru ini," katanya dalam sidang media selepas perjumpaan tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam semalam dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia masih berunding untuk mencari jalan penyelesaian kepada beberapa isu yang berkaitan dengan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia.

Raja Zulkepley berkata, majikan telah pun dimaklumkan mengenai isu pasport yang dipegang sendiri oleh pembantu rumah dan mendapat cuti sehari dalam seminggu di mana ia bukanlah lagi satu isu.

"Pembiayaan penempatan seperti kos pembiayaan dan kos operasi yang bermasalah pun kini dalam peringkat terakhir, isu kos ini dijangka tidak akan membebankan majikan dan juga pembantu rumah," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencapai kata sepakat berhubungan isu ini pada 29 Ogos tahun lepas melalui satu surat hasrat (LOI).

Katanya antara lain, surat itu mencapai persetujuan di mana Tenaga Kerja Indonesia (TKI) berhak memegang sendiri pasportnya, mendapat hak cuti sehari dalam seminggu dan pembayaran gaji diawasi oleh masing-masing negara sesuai dengan kelayakan mereka.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan perlu mempercepatkan proses menandatangani MoU tersebut supaya tidak merugikan dan membebankan kedua-dua pihak kerana kedua-dua negara telah pun mencapai kata sepakat melalui LOI itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain