suria

Hak Untuk Mengundi Adalah Sulit Dan Peribadi - Dr Koh Tsu Koon

PUTRAJAYA: Hak untuk mengundi dalam pilihan raya adalah sulit dan peribadi, kata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun, Koh berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat berhubung cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mewujudkan sistem pegundian secara proksi sebelum memberi sebarang ulasan terhadap perkara itu.

"Saya belum melihat cadangan sebenar mereka. Tetapi bagaimanakah anda memberi proksi kepada seseorang untuk mengundi? Bagaimana anda dapat pastikan bahawa dia mengundi seperti yang anda kehendaki?," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai cadangan SPR berhubung sistem pengundian secara proksi untuk membolehkan pengundi yang tidak dapat hadir pada hari mengundi memberi kebenaran kepada proksi untuk mengundi bagi pihak mereka.

Laporan akhbar pada Isnin memetik Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai berkata SPR akan meneliti kemungkinan mengadakan sistem pengundian secara proksi.

Abdul Aziz berkata, cadangan itu adalah antara kira-kira 30 pindaan kepada undang-undang pilihan raya di negara ini dan sebahagian daripada usaha suruhanjaya berkenaan untuk menyediakan peluang kepada pengundi melaksanakan hak mengundi.

Bagaimanapun, Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan itu kerana masih di peringkat awal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain