suria

Geng Samun Kargo Di Melaka Tumpas

MELAKA: Polis menumpaskan kumpulan yang menyamun barangan tembaga bernilai RM1.2 juta yang berlaku di Terminal Kenderaan Berat, Gangsa di Durian Tunggal, Alor Gajah awal bulan ini.

Kejadian berlaku kira-kira 4.15 pagi pada 3 Januari lalu.

Kumpulan ini menggunakan dua buah kotena untuk melarikan barang tersebut yang kontena bersama dua lelaki yang berumur 38 dan 42 tahun ditahan di Lebuhraya Utara Selatan arah ke utara, kira-kira setengah jam selepas kecurian itu dilaporkan.

Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Chuah Ghee Lye berkata hasil daripada soal siasat, polis pada Rabu lepas menahan pula lima lelaki berumur antara 28 dan 40 tahun di Johor.

Salah seorang daripada suspek yang ditangkap itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kumpulan ini dipercayai melakukan samun lori di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor selain di Melaka sebelum ini. Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan banyak kes samun lori di negeri-negeri berkenan," katanya.

Polis juga berjaya menumpaskan sebuah lagi kumpulan samun yang melibatkan tiga buah lori pembancuh simen di Sungai Udang, Alor Gajah pada 3 Januari lalu.

Chuah berkata kecurian itu dilakukan oleh 10 orang lelaki yang bersenjatakan parang.

Polis menjumpai semula dua buah lori itu dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Slim River, Perak.

"Polis sedang mengesan sembilan lagi suspek," katanya.

Polis turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan suspek dengan menghubungi polis termasuk Rakan Cop di talian 03-21159999 atau IPK Melaka di talian 06-2854222. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain