suria

BN Sarawak Akan Sokong SUPP: Taib

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menyokong Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang mensasarkan untuk menyerlah semula dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ahad.

Taib, yang juga Pengerusi BN negeri dan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata rakan-rakan SUPP dalam BN tidak akan membiarkan parti itu dikritik terutamanya oleh pihak luar.

"PBB dan parti-parti komponen yang lain akan menyokong anda dan bekerja sebagai satu pasukan untuk membina Sarawak yang makmur," katanya pada Konvensyen SUPP di sini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya gabungan parti negeri setia kepada konsep kerajaan persekutuan dan BN bukan kerana berasa takut tetapi kerana yakin dengan penyertaan Sarawak dalam pembinaan negara bangsa.

Kuasa SUPP goyah pada pilihan raya negeri 2006 apabila tewas di lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya tetapi parti itu kini telah berjaya keluar daripada situasi penafian, kata Taib.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan berkata konvensyen itu merupakan usaha kemuncak untuk mengelakkan dan memastikan bencana yang dialami parti pada pilihan raya negeri lepas tidak berulang.

"Masa terbaik untuk menilai kelakuan dan kekuatan seseorang ialah pada masa yang sukar dan mencabar...begitu juga dengan parti, semasa tempoh yang sukar itu lah kita akan tahu siapa kawan sejati kita," katanya dan menurutnya SUPP telah mendaftarkan hampir 10,000 anggota baru sejak pilihan raya lepas.

Beliau berkata mereka merupakan golongan yang berpotensi menjadi pemimpin pelapis SUPP dan bukannya sekadar anggota biasa kerana mereka menyertai parti semasa SUPP berada dalam krisis.

Walaupun merupakan sebuah parti kaum Cina, beliau berkata anggota SUPP terdiri daripada pelbagai kaum dengan 30 peratus daripada anggotanya bukan berbangsa Cina.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain