suria

Polis Ipoh Tahan Lelaki Mabuk Ketika Memandu

IPOH: Polis menahan seorang lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam "Operasi samseng dan mabuk" yang diadakan di jalan-jalan utama di bandar raya ini awal, Ahad.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Jalan Perajurit di sini pada pukul 2 pagi selepas dikesan berada di bawah pengaruh alkohol ketika polis membuat pemeriksaan ke atasnya.

Lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya ketika dihubungi, Ahad.

Mohd Rodzi berkata dalam operasi dari 12 tengah malam hingga 2.30 pagi, polis turut mengeluarkan saman ke atas sembilan pemandu atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai nombor pendaftaran.

Polis turut menahan sebuah motosikal yang ditinggalkan oleh penunggangnya yang dipercayai melarikan diri, katanya.

Operasi berkenaan dianggotai 19 polis cawangan trafik membabitkan Jalan Kuala Kangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Pasir Puteh.- BERNAMA

Artikel Lain