suria

Pakar Bedah Plastik Nilai Secara Berperingkat Pembedahan Nurul

KUALA TERENGGANU: Pakar pembedahan plastik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan membuat penilaian secara berperingkat sebelum melakukan pembedahan susulan terhadap mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.

Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr T Ramelah T Senik berkata Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, perlu menjalani beberapa siri pembedahan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan parut di muka dan badannya.

"Sehingga ini kita tidak tahu lagi berapa kali lagi Nurul Dahyatul Fazlinda perlu menjalani pembedahan. Penilaian oleh pakar bedah akan dibuat dari masa ke semasa untuk pembedahan seterusnya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri melawat kanak-kanak itu di HSNZ, Ahad.

Dr T Ramelah berkata, pembedahan di bahagian lain termasuk dada kanak-kanak itu akan dibuat kemudian kerana tumpuan diberikan di bahagian parut yang timbul di muka terlebih dahulu.

Katanya sehingga ini rawatan ke atas pelajar itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Pembedahan Nurul Dahyatul Fazlinda di hospital itu diketuai oleh Pakar Perunding Pembedahan Plastik, Dr Najiha Syarida Zakaria.- BERNAMA

Artikel Lain