suria

Kedah Terus Jalin Hubungan Baik Dengan Pusat

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan terus menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan di bawah konsep Federalisme serta terus mendukung prinsip demokrasi dan pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata prinsip yang sama juga diharap akan didukungi serta dihayati Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

"Segala harapan rakyat telah diterjemahkan kepada pelbagai projek yang dirancangkan dan perancangan kerajaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa mendapat kerjasama semua pihak," katanya di sini Ahad.

Beliau berkata pihak terbabit termasuklah semua peringkat di Jabatan Negeri, Jabatan Persekutuan, anak-anak syarikat Kerajaan, syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan.

Azizan berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit, di sini.

Sementara itu, beliau berkata kutipan hasil negeri juga meningkat 17.32 peratus berbanding 2009, ekoran usaha gigih semua jabatan meningkatkan kutipan hasil dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan belanja berhemah.

"Ekoran daripada itu, defisit berjumlah RM16 juta yang dianggarkan dalam Bajet 2010 telah dapat diatasi dan kerajaan menjangka trend yang sama akan berlaku pada tahun ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain