suria

Firefly Sasar Tiga Juta Penumpang Pada 2011 Dengan Pesawat Baru

KUCHING: Syarikat penerbangan komuniti Malaysia, Firefly menyasar dapat membawa tiga juta penumpang tahun ini dengan pengenalan kumpulan pesawat Boeing 737-800, bersama-sama penambahan pesawat ATR kepada 10 buah.

Ketua Pemasaran dan Komunikasinya, Angelina Corrina Fernandez berkata, tahun lepas syarikat penerbangan itu membawa 1.35 juta penumpang dengan sembilan pesawat ATR.

Syarikat itu memulakan penerbangan sulung dengan pesawat 737-800 ke Kuching dan Kota Kinabalu dari Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebagai sebahagian program pertumbuhannya di Malaysia Timur.

"Kami telah menyaksikan pertumbuhan kukuh bagi laluan ini dan yakin sasaran berkenaan boleh dicapai.

"Daripada tiga juta penumpang yang disasarkan, kami menjangka dapat membawa sekurang-kurangnya 50 peratus dengan pesawat 737-800 kami ke destinasi itu," katanya kepada pemberita pada pelancaran penerbangan sulung itu hari ini.

Angelina berkata, Firefly merancang untuk mempunyai tujuh pesawat 737-800 tahun ini dan 30 pada 2015.

Menjelang akhir bulan ini, ia dijangka menerima satu lagi pesawat ATR dan merancang untuk menambah empat lagi pada 2012.

"Firefly bersedia untuk menawarkan hospitalitinya kepada pasaran yang besar.

"Kini, dengan pengenalan rangkaian kumpulan pesawat 737-800 yang baharu, kami akan dapat terus terbang, dengan itu membolehkan kami memperluaskan rangkaian ke Malaysia Timur," katanya.

Pada masa ini, Firefly menawarkan dua penerbangan harian bagi kedua-dua laluan serta menambah dua lagi mulai 24 Jan.

Angelina berkata, pelanggan Firefly juga akan dapat menikmati kemudahan tempahan serta keselesaan yang hebat pada tambang murah bagi pesawat 737-800.

"Dengan mempunyai kos operasi terendah berbanding dengan syarikat penerbangan lain, kami dapat menawarkan nilai yang hebat.

"Ini juga dicapai dengan memanfaatkan pengalaman, infrastruktur dan perkhidmatan teras syarikat induk, Malaysia Airlines (MAS) seperti operasi darat dan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

"Kekuatan kewangan dan kemudahan kredit yang dinikmati oleh MAS juga memberi faedah kepada Firefly," jelas beliau.

Beliau berkata, semua penjimatan dalam kos operasi diraih daripada faedah berkenaan disalurkan terus kepada pelanggan dalam bentuk tambang murah.

Menurut Angelina, Firefly, juga merancang untuk mengambil lima lagi pegawai tiket lapangan terbang bagi menyokong rancangan pengembangan. - BERNAMA

Artikel Lain