suria

Remaja Ditahan Bantu Siasatan Kes Dera Seksual

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang remaja berumur 15 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seksual membabitkan kanak-kanak berusia seawal lapan tahun di sebuah rumah pelindungan kanak-kanak di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata remaja itu yang dipercayai tinggal di pusat berkenaan sebelum ini, ditahan di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata remaja itu akan direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan, dan menurutnya polis percaya kes itu akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Ketika dihubungi disini hari ini beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Dua hari lepas Gan dilaporkan berkata polis akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyegerakan penyiasatan berhubung penderaan seksual di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini ekoran laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan wanita berusia 41 mengenai perkara itu.-BERNAMA

Artikel Lain