suria

Pewaris Buat Laporan Polis Nasi Lemak Guna Logo Tanda Halal Palsu

GEORGE TOWN: Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah syarikat pengeluar nasi lemak bukan lslam di Juru yang didakwa menggunakan logo halal palsu.

Presiden Pewaris negeri Sabaruddin Ahmad berkata berdasarkan aduan dan maklumat orang ramai, nasi lemak itu dijual di sekitar Pulau Pinang. Beliau berkata nasi lemak itu dipercayai dijual kawasan perumahan serta kilang sekitar Pulau Pinang terutamanya kawasan Jalan Tengah, Bukit Jambul, Kampung Jawa, Bayan Baru dan George Town.

"Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia mengganggu sensitiviti orang Islam. Tidak kisah bangsa apa sekalipun, sekiranya ia mempunyai tanda halal yang diiktiraf, kita boleh terima.

"Sebaliknya ini jelas menunjukkan tanda halal nasi lemak itu palsu dan bukannya dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, di sini, Sabtu.

Beliau menggesa Jakim dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim supaya memantau logo halal yang digunakan oleh pengusaha di negeri ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.

Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan balai polis berkenaan untuk membantah tindakan pengusaha berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain