suria

Pemandu Lori Ditahan Dipercayai Cuba Seleweng 10,920 Liter Diesel

JOHOR BARU: Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua menahan seorang pemandu lori dan merampas 10,920 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori tangki di KM1 Jalan Mersing-Endau, dekat Mersing, awal hari ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin membuat pemeriksaan ke atas lori jenis Isuzu itu ketika kenderaan terbabit berhenti di lampu isyarat, kira-kira 3.30 pagi.

"Selepas disoal siasat, pemandu lori itu mengakui membawa muatan 10,920 liter minyak diesel bersubsidi tanpa permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khamsani berkata pemandu lori berkenaan adalah rakyat tempatan dan berumur lingkungan 30an.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMA

Artikel Lain