suria

Ketua Hakim Negara Akan Terus Perkenal Dasar Baru

PUTRAJAYA: "Saya buat apa yang perlu saya buat, walaupun ia mungkin pahit untuk ditelan oleh sesetengah orang."

Demikian ditegaskan Tun Zaki Azmi berhubung dasar dan perubahan yang beliau laksanakan dalam bidang kehakiman sejak mula menyandang jawatan Ketua Hakim Negara.

Zaki, yang akan bersara beberapa bulan lagi, berkata seperti sebelum ini, matlamat beliau ialah melaksanakan perkara yang membawa kebaikan kepada badan kehakiman dan orang ramai.

"Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sehinggalah saya bersara, saya akan terus memperkenalkan dasar baru, tidak kira sama ada ia popular atau tidak, asalkan saya berpuas hati dan yakin bahawa ia akan membawa kebaikan kepada bidang kehakiman dan orang ramai.

"Kadang-kadang, ada orang melihat sesuatu dasar itu bersifat negatif, tapi lama kelamaan, mereka akan mengubah pendapat demikian apabila melihat ia memberi hasil positif," kata Zaki ketika berucap merasmikan majlis Tahun Undang-undang 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Sabtu.

Zaki dilantik sebagai Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed pada 2008.

Sejak menyandang jawatan itu, beliau memperkenalkan pelbagai dasar dan perubahan dalam bidang kehakiman.

Ini termasuk pelaksanaan kawalan ketat terhadap penangguhan kes mahkamah yang menerima kritikan daripada golongan peguam.

Beliau juga memperkenalkan penggunaan pelbagai teknologi moden di mahkamah, termasuk persidangan video dan melaksanakan penubuhan mahkamah khas dan proses pengantaraan.

Dalam ucapannya, Zaki mengucapkan terima kasih kepada hakim di semua peringkat mahkamah, majistret, pendaftar dan anggota kumpulan sokongan kerana usaha mereka dalam menjadikan badan kehakiman Malaysia sebagai model peranan dalam kalangan negara yang mengamalkan Common Law.

"Kami, dalam badan kehakiman Malaysia dan profesion undang-undang Malaysia, berbangga dengan kemajuan besar yang dicapai oleh badan kehakiman dan profesion undang-undang di negara ini, yang tidak terdapat di negara lain, yang turut mengamalkan Common Law. Lebih membanggakan lagi apabila semua ini dicapai dalam tempoh yang singkat dan dilakukan dengan cara Malaysia.

"Tahun lepas, saya menyampaikan ucapan sulung saya untuk merasmikan tahun undang-undang. Hari ini, saya menyampaikan ucapan kali kedua dan terakhir saya untuk majlis ini. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum saya mengundurkan diri.

"Saya yakin pengganti saya akan terus menambah baik badan kehakiman Malaysia, bukan saja berhubung kebebasannya, tetapi juga dalam melaksanakan keadilan untuk orang ramai," kata beliau.

Zaki juga mengingatkan para pegawai badan kehakiman bahawa keadilan bukan sahaja perlu diberi kepada orang kena tuduh, tetapi juga mangsa, keluarganya, saksi dan orang ramai.

"Janganlah hanya kerana sesuatu kes itu merupakan jenayah kolar putih, maka pelakunya tidak perlu dikenakan hukuman penjara; malah denda tidak kira sebesar mana jumlahnya, tidak memberi pengajaran yang secukupnya dalam sesetengah kes.

"Wang tidak menjadi masalah bagi seorang jutawan, tapi denda yang kecil jumlahnya bagi orang kampung di Gua Musang, mungkin menjadi pengajaran yang sudah memadai baginya," kata beliau.

Zaki juga menyeru para pegawai badan kehakiman, peguam, pendakwa, agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan "pembetulan" supaya berganding bahu untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih selamat untuk didiami kerana beliau percaya kadar jenayah di negara ini, walaupun mencatat sedikit pengurangan, masih menjadi kebimbangan orang ramai.

"Orang ramai mengharapkan penjenayah dibawa ke muka pengadilan dengan secepat mungkin dan sebaik saja didapati bersalah, dia dikenakan hukuman yang setimpal untuk mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan serupa.

"Sekiranya matlamat kita ialah untuk melaksanakan keadilan, maka saya percaya lebih banyak usaha perlu dibuat untuk mengurangkan jenayah di negara tercinta ini. Orang ramai mengharapkan kita melaksanakan keadilan. Apabila orang ramai hilang keyakinan terhadap mahkamah dan agensi penguatkuasaan undang-undang, mereka akan mula melaksanakan undang-undang sendiri. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," kata beliau.

Zaki berkata bukanlah suatu keadilan apabila seseorang yang melakukan jenayah dibebaskan atau dikenakan hukuman ringan atau seseorang yang tidak melakukan kesalahan, disabitkan kesalahan.

Sejajar dengan itu, beliau meminta para hakim supaya bersikap lebih peka tentang isu tersebut.

Beliau berkata penangguhan, terutama dalam perbicaraan kes jenayah, masih merupakan masalah besar hari ini dan bukan sesuatu yang luar biasa apabila ada kes, yang walaupun ditangguhkan perbicaraannya hingga 45 kali, masih belum selesai.

"Tidak ramai yang menyedari bahawa wang orang ramai dibazirkan setiap kali sesuatu kes ditangguhkan. Mengikut perkiraan saya secara konservatif, setiap hari, negara kerugian beratus ribu ringgit dalam bentuk pembaziran masa dan kehilangan pendapatan serta tenaga manusia," kata beliau.

Zaki berkata badan kehakiman telah menggubal suatu dasar untuk tidak membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap orang kena tuduh yang melarikan diri daripada perbicaraan mahkamah supaya taraf mereka terus kekal sebagai orang pelarian sehinggalah mereka menyerah diri atau ditangkap.

Pada majlis itu, Zaki turut melancarkan Jurnal Badan Kehakiman.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah pengerusi Majlis Peguam K. Ragunath, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.-BERNAMA

Artikel Lain