suria

Jangan Politikkan Isu Agama: Jamil Khir

JITRA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan isu-isu agama supaya menghentikannya dan menilai kesan perbuatan mereka.

Beliau berkata provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam untuk bangkit mempertahankan agama mereka.

"Jadi jangan sentuh soal ibadat orang Islam," katanya dan mengingatkan pihak terbabit tidak menggunakan parti-parti politik untuk menguji orang Islam dengan isu agama demi kepentingan politik mereka.

Jamil Khir diminta mengulas isu seorang pengadu mempersoalkan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur yang didakwa mengganggu tidurnya, baru-baru ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis ramah mesra pegawai penyelaras masjid daerah, imam dan guru Kafa (Kelas Agama dan Fardu Ain) berkata surat pengadu yang diterimanya turut dihantar kepada Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita membuat kajian dan pantau apa sebenarnya berlaku. Adakah pembesar suara di pasang 24 jam. Ia hanya dipasang apabila masuk waktu (solat).

"Islam telah diterima semua pihak sebagai agama rasmi persekutuan tetapi kini terdapat musuh politik yang cuba mengganggu-gugat perkara yang disepakati bersama," katanya, Sabtu.

Mengenai arahan anggota Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis menjual arak, beliau berkata Ronnie telah menghina Islam.

"Perkara itu termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Ronnie tidak boleh sentuh. Kita berusaha mempertahankan moral dan akhlak orang Islam tetapi yang berlaku ada pihak mahu umat Islam melakukan sebaliknya," katanya.

Jamil Khir turut melahir rasa kecewa dengan tindakan Anggota Parlimen PAS Dr Lo'lo Ghazali menggunakan perkataan 'mandom' terhadap pegawai-pegawai Jakim dan Jabatan Agama dalam blognya mempertahankan tindakan Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang berpakaian ketat mengadakan aktiviti senaman di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini.

"Saya nak tegur supaya cermat guna bahasa kerana perkataan supaya orang seperti kita (Anggota Parlimen) dihormati," kata Jamil Khir yang mahu sebarang isu politik berkaitan agama dijadikan isu bersama umat Islam.

Terdahulu, semasa berucap beliau berkata kenaikkan elaun imam, pegawai penyelaras masjid daerah dan guru Kafa yang dibentangkan Perdana Menteri dalam Bajet 2011 Oktober tahun lepas adalah tanda keprihatinan kerajaan membawa mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Imam dan pegawai penyelaras masjid daerah menikmati kenaikkan daripada RM450 kepada RM750 manakala guru Kafa daripada RM500 kepada RM800, berkuatkuasa bulan ini.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi tidak sepatutnya diperbesarkan dan boleh diselesaikan dengan baik.

"Isu seperti ini pernah berlaku beberapa kali dahulu tetapi dapat diselesaikan dengan cepat tanpa campur tangan pihak luar," katanya kepada katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku berbahasa Mandarin bertajuk "Maaf Kalau Ada Yang Tersinggung" yang merupakan kompilasi lebih 60 artikel mengenai politik tanah air hasil nukilan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow yang diterbitkan dalam akhbar China Press dari 2008 hingga 2010.-BERNAMA

Artikel Lain