suria

Cuba Rasuah Pegawai Polis: Pengedar Dadah Dipenjara Tujuh Tahun, Denda RM275,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengedar dadah dipenjara tujuh tahun dan denda RM275,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah menawarkan rasuah berjumlah lebih RM50,000 kepada seorang pegawai polis ketika dia ditahan di dalam satu serbuan, tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan Yap Tee Ooi, dari Jenjarum, Selangor menjalani hukuman dari tarikh ditangkap pada 21 Julai, 2010.

Rozilah juga memerintahkan Yap untuk menjalani hukuman penjara tiga tahun lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Yap, 46, didakwa telah menawarkan wang sebanyak RM54,950 kepada pegawai Jabatan Narkotik Kuala Lumpur, Cif/Insp M. Suresh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya setelah polis menjumpai sejumlah dadah jenis syabu dan heroin di dalam kereta tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta, Tingkat 4, Vista Mutiara off Jalan, Kepong pada kira-kira pukul 8.15 malam 15 Julai, tahun lalu.

Rozilah di dalam penghakimannya berkata pembelaan Yap lebih kepada penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mahkamah mengambil kira faktor jumlah dadah yang terlibat adalah banyak, jumlah suapan dan tindakan Yap yang cuba melepaskan diri dengan menawarkan rasuah boleh menjejaskan keseluruhan sistem keadilan negara.

"Beliau juga cuba menjatuhkan maruah dan martabat anggota polis secara keseluruhannya di dalam tindakannya dan hanya hukuman berat oleh mahkamah ini terhadap Yap sahaja boleh memberikan mesej yang jelas kepada orang lain untuk memberhentikan tindakan mereka yang turut mendorong kepada peningkatan berlakunya jenayah rasuah," kata Mohd Sophian.

Yap diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain