suria

PKR Tawar Rafizi Debat Khairy

PETALING JAYA: Selepas menolak pelawaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti itu menawarkan untuk mempertemukan Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli dengan Ahli Parlimen Rembau itu menerusi debat terbuka.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Rafizi merupakan regu yang sesuai untuk Khairy bagi mengadakan debat mengenai 'pelan 100 hari' yang dicadangkan Pakatan Rakyat baru-baru ini.

"Rafizi selaku pemimpin muda adalah regu sesuai untuk Khairy. Beliau juga merupakan jurutera dan akauntan bertauliah dan pernah menjadi Pengurus Kanan di Petronas dan Pengurus Besar di Pharmaniaga," katanya di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Anwar pernah mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Tun Razak untuk berdebat mengenai 'pelan 100 hari' pembangkang yang didakwa populis dan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun pelawaan berkenaan ditolak Perdana Menteri dan sebaliknya Khairy pula yang menawarkan diri untuk berdebat dengan Anwar mengenai perkara berkenaan.

Namun mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat semalam memutuskan bahawa tawaran Anwar kepada Najib itu masih terbuka dan bersedia menimbang syarat-syarat uang ditetapkan.

"Pelawaan asal Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang adalah kepada Najib. Namun atas semangat mengadakan wacana umum bagi menilai tawaran Pakatan, PKR menawarkan Rafizi untuk berbahas dengan Khairy," katanya.

Tambahnya, beliau berharap Khairy sedia menerima perlawaan tersebut yang dilihat sebagai pembuka tirai kepada debat antara Najib dan Anwar.

"PKR berharap Khairy bersetuju dan perbahasan tokoh-tokoh muda ini menjadi pembuka tirai kepada perbahasan antara Najib dan Anwar.

"Diharapkan lebih banyak wacana politik berbentuk ilmiah dan intelektual dapat diadakan bagi memberikan peluang rakyat membuat penilaian sewajarnya. Sudah tentu amalan sebegini lebih baik berbanding amalan membakar buku yang menjadi-jadi akhir-akhir ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain