suria

Pakatan Nafi Kerajaan Negeri Selangor Ketepikan Sultan

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menafikan bahawa kerajaan negeri Selangor mengenepikan Sultan dengan mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan pindaan terhadap Undang-Undang tubuh Negeri Selangor 1959.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan Pakatan di ibu pejabat PAS di sini, Khamis, Penasihat PKR yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengikuti lunas prosedur yang ditetapkan.

"Apa jua pindaan akan dilakukan mengikut prosedur sedia ada. Ia kemudiannya akan dibentangkan kepada Sultan," katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, menghormati Sultan dan meminda perlembagaan negeri adalah dua isu berasingan.

"Kami sudah tentu menghormati Sultan Selangor. Peminda perlembagaan satu perkara, menghormati Sultan adalah perkara lain," katanya.

Sidang tergempar DUN Selangor pada 24 Januari ini bertujuan melakukan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 bagi memberikan Sultan dan Menteri Besar Selangor kuasa untuk membuat keputusan berhubung perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain