suria

Kutip Wang Haram: Mahkamah Perintah Tiga Beranak Peneraju Noradz Travel & Services Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, memerintahkan tiga beranak yang menerajui syarikat pelancongan, Noradz Travel & Services untuk membela diri atas tuduhan terlibat dalam pengurupan wang haram bernilai RM60 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff juga memerintahkan supaya pengarah syarikat itu, Datuk Adzhar Sulaiman, 56, dan dua anak perempuannya, Noradzma, 36, dan Noradzrin, 26, untuk membela diri atas tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen.

“Setelah meneliti keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan dan memberi penilaian maksimum, saya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie kepada tertuduh terhadap semua pertuduhan. Oleh itu, tertuduh perintahkan membela diri,” kata Rozana pada keputusannya.

Perbicaraan melibatkan 52 saksi pendakwaan.

Beliau seterusnya menetapkan 26, 27 dan 31 Januari ini serta 16 Februari untuk tertuduh membela diri dan peguam Datuk Salehuddin Saidin memaklumkan anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Pada 22 Disember 2009, Adzhar mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan terlibat dalam pengurupan wang haram manakala Noradzma dan Noradzrin masing-masing menghadapi 166 pertuduhan.

Mereka didakwa menggunakan wang haram tersebut membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang serta membeli produk insurans selain pelaburan dan memindahkan wang ke dalam akaun milik anak syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bebarapa buah bank di sekitar ibu negara seperti EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, syarikat tersebut, Adzhar dan Noradzma turut didakwa atas kesalahan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989(Akta 372) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat yang terlibat dalam perniagaan penyewaan kereta, agensi pelancongan, pelaburan dan penerbitan filem seperti filem lakonan Saiful Apek bertajuk ‘Shhh...Dia Datang’ dan beberapa drama.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Mohd Haziq Razali dan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Fahmi Abd Moin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain