suria

Kes Utusan Saman Teresa Kok Dibicara 21 Mac

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 21 Mac untuk perbicaraan kes saman Utusan Melayu (M) Berhad terhadap Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok Suh Sim, yang didakwa mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah terhadap akhbar terbitan syarikat itu.

Timbalan Pendaftar Nor Azlin Othman menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di kamar beliau pada Jumaat.

Pada Februari 2009, Utusan Melayu Berhad menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Kok, 47, kerana didakwa mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Ia berikutan dakwaan wakil rakyat itu kononnya akhbar harian itu telah memutar-belitkan pernyataan-pernyataan beliau berhubung makanan yang disajikan kepadanya semasa beliau berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Utusan Malayu Berhad menyatakan, pernyataan-pernyataan Kok itu telah dibuat pada 22 Sept 2008 dan ia telah diterbitkan oleh media-media tempatan serta blog beliau sendiri.

Syarikat itu menuntut perintah supaya Kok mengeluarkan artikel-artikel, perkataan, petikan atau komen yang berunsur fitnah daripada laman blog dan laman web tersebut selain menuntut ganti rugi am, khas, tambahan dan punitif serta faedah bagi ganti rugi yang diberikan selain daripada kos serta relif lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain