suria

Tengku Razaleigh Yakin BN Kekal Kerusi DUN Tenang

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) boleh mengekalkan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil 20 Januari ini.

Veteran Umno itu berkata pilihan raya kecil tersebut boleh memihak kepada BN berdasarkan kawasan terbabit melibatkan peneroka Felda yang sudah tentu memberi sokongan padu di atas jasa kerajaan terhadap mereka.

Katanya pengundi lain termasuk pengundi Cina juga sekian lama telah memberi sokongan kepada BN dan ini adalah peluang cerah untuk BN kekal memang tanpa mengira siapa calon BN yang diletakkan bertanding di situ.

"Kita tidak nampak ada masalah di DUN Tenang. Sebab itu saya berani katakan BN boleh kekal menang kerana penduduk dapat merasai kesenangan hidup hasil perjuangan kerajaan BN," katanya.

Kerusi Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Tengku Razaleigh berkata kerajaan BN banyak berjasa kepada rakyat di seluruh negara menyebabkan rakyat tidak mudah lupa untuk membalas jasa itu terutama semasa menghadapi pilihan raya kecil berkenaan nanti. - BERNAMA

Artikel Lain