suria

Raja Nong Chik Akan Jumpa Maju Holding Selesai Masalah TBS-BTS

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan mengadakan pertemuan dengan Maju Holding Sdn Bhd, pemaju Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) minggu depan untuk membincangkan masalah berkaitan pelan asal taman rekreasi berhampiran terminal itu.

Beliau berkata, terdapat situasi 'menang-menang' untuk kedua-dua pihak tetapi semuanya bergantung kepada pemaju sama ada menerimanya atau tidak.

"Kalau beliau tidak setuju kita tidak boleh buat apa-apa, kita masih perlu ikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ulang tahun Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) dan pameran 'Tiga Alam' di sini, hari ini.

Mengenai 80 bekas penjaja yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada terminal dan tidak diberi peluang berniaga di sana, beliau berkata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib telah menemui mereka yang terlibat.

"Pihak KSU sudah panggil mesyuarat dengan tiap seorang penjaja itu, dan kita akan buat penyelarasan dari lot-lot penjaja," katanya.

Jumaat lepas, kerajaan mengeluarkan notis 14 hari kepada pihak pemaju (Maju Holding Sdn Bhd) supaya meruntuhkan semua pagar yang dibina atas tanah awam, yang diperuntukkan untuk kawasan rekreasi di Bandar Tasik Selatan di sini.

Abu Sahid bagaimanapun berkata lima rumah yang dibina di atas tanah itu dan tanah berkenaan adalah miliknya yang dibeli pada 1989. - BERNAMA

Artikel Lain