suria

Pemuda Umno Hantar Surat Rasmi Ajak Anwar Debat

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno pada Khamis menyerahkan surat rasmi menjemput Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengan Ketua, Khairy Jamaluddin berhubung isu ekonomi membabitkan manifesto 100 hari Pakatan Rakyat.

Surat tersebut diserahkan oleh Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada Pegawai Khas Anwar, Ibrahim Yaacoob di Ibu Pejabat PKR di sini pada pukul 10.35 pagi tadi.

Mereka dilihat meninggalkan bangunan tersebut sepuluh minit kemudian.

Dalam surat itu, Khairy menawarkan diri untuk berdebat secara terbuka dengan Anwar khusus mengenai isu ‘Kaedah Mengendalikan Ekonomi Negara’.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Megat Firdouz berkata, Umno mahu memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menilai apa yang dimaksudkan dengan manifesto ekonomi 100 hari Pakatan Rakyat.

"Respons yang kita terima daripada pegawai khas Anwar tadi baik dan dia kata surat itu kepada Anwar dan terpulang kepada beliau untuk terima atau tidak.

"Kita sangat berharap atas nama demokrasi untuk tahu rancangan mereka yang sebenar, “terimalah pelawaan, sahutlah pelawaan kami” untuk sama-sama berdebat dan dengar apa yang mereka hendak jamu kepada rakyat seperti mana yang mereka katakan dalam tempoh 100 hari jika memerintah,” katanya di luar Ibu Pejabat PKR di sini, pada Rabu.

Megat Firdouz berkata pihaknya menantikan jawapan segera daripada Anwar supaya debat tersebut boleh ditetapkan.

"Tarikh, tempat semua kita akan bincang kemudian... yang penting adalah persetujuan. Kalau Anwar bersetuju saya dan Reezal akan berbincang dengan pentadbiran untuk menentukan tarikh dan tempat.

"Kami minta jawapan secepat yang mungkin. Itu terpulang kepada mereka (untuk turunkan siapa), kami hanya mahu dengar dan berdebat tentang apa yang mereka mahu katakan,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican pula berkata Pemuda Umno tidak kisah sekiranya Anwar mahu menurunkan orang lain untuk berdebat dengan Khairy kerana apa yang lebih penting adalah penjelasan kepada rakyat.

"Kita hadir hari ini adalah atas pelawaan yang penuh tanggungjawab sebab itu Pemuda Umno hantar dua senior Exco kerana kita terima permintaan Anwar untuk berdebat tentang tatacara untuk mengendalikan ekonomi negara.

"Ini penting kerana ini membabitkan soal kepentingan rakyat dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ada tanggungjawab kepada rakyat yang lebih besar.

"Soal siapa tidak penting tapi soal yang lebih penting adalah tanggungjawab kita kepada rakyat, rakyat nak dengar.

"Jadi kita nak buka lantai demokrasi yang lebih luas bukan hanya kepada pendebat ini tapi kepada rakyat untuk menilai,” katanya.

Beliau percaya Anwar akan menerima pelawaan tersebut untuk membuktikan kepada rakyat bahawa program 100 Hari Pakatan Rakyat itu dapat membantu mengurangkan perbelanjaan ekonomi negara.

"Anwar tentu ada dalam kepalanya tentang perkara-perkara yang mahu dihidangkan dan santapan kepada rakyat dalam menuju ke depan, begitu juga dengan Khairy.

"Jadi jangan anggap debat ini adalah soal untuk mencari kemenangan, bagi saya kemenangan sebenar adalah untuk rakyat. Saya tidak nampak kenapa Datuk Seri Anwar tidak akan terima, ini adalah masa terbaik untuk beliau. Buktikan kepada rakyat, saya percaya beliau akan lakukan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan turut mempelawa Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyertai forum mengenai manifesto 100 hari Pakatan Rakyat.

"Maka saya berharap Khairy yang kini beria-ia benar mahu mendebatkan janji 100 Hari kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menjadi panel forum tersebut.

"Adapun Anwar Ibrahim, biarlah ia berdepan dengan Najib," katanya.

Beliau berkata, Ketua Pemuda Umno itu juga perlu melupakan sahaja hasrat berdebat dengan Anwar, yang disifatkannya tidak sepadan.

Forum tersebut akan diadakan pada 18 Januari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), bermula jam 9.30 hingga 12 malam dan terbuka kepada semua.

"Insya-Allah, kami akan menghantar surat rasmi kepada beliau hari ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Sebelum ini Anwar mencabar Najib untuk berdebat berhubung dasar-dasar ekonomi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat namun ditolak oleh Perdana Menteri.

Anwar membuat cabaran itu ekoran kecaman Najib mengenai inisiatif Pakatan Rakyat dengan mengatakan parti itu mampu membiayai program 100 Hari mereka dengan hanya memerlukan dana RM19 bilion.

Artikel Lain