suria

Pelajar Malaysia Selamat Di Australia

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang tinggal dan belajar di Brisbane, Australia, berada dalam keadaan selamat walaupun terputus hubungan dan menghadapi masalah kekurangan makanan akibat banjir buruk yang melanda timut laut negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Muslim Malaysia Queensland Mohd Ridzwan Yaakub berkata, lebih 40 keluarga pelajar Malaysia telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat oleh pihak berkuasa negara itu atau tinggal dengan rakan yang tidak terjejas.

Katanya, rakyat Malaysia di situ telah mengambil langkah berjaga-jaga selepas Kedutaan Malaysia di Australia memaklumkan mengenai bencana itu lebih awal sebelum banjir besar itu melanda sejak beberapa hari lepas.

"Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan pelajar Malaysia. Mereka sudah diarah berpindah awal selepas diberitahu Selasa lepas."

"Banjir di sini amat teruk berikutan air cepat naik. Saya dimaklumkan kejadian ini amat buruk selepas 1974," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan yang mengalami banjir yang teruk di negeri Queensland iaitu Brisbane, Toowoomba, St Lucia, Indooroopilly dan Toowong.

"Kira-kira 13 pelajar terputus hubungan termasuk bekalan makanan yang mampu bertahan selama dua hari lagi di Toowoomba yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Brisbane.

"Pihak persatuan bersama Kedutaan Malaysia di Australia akan mencari jalan penyelesaian untuk menghantar bekalan makanan ke tempat berkenaan meskipun laluan bagi pengangkutan darat terputus," katanya yang setahun menuntut di salah sebuah universiti di sana.

Mohd Ridzwan berkata terdapat beberapa rumah pensyarah Malaysia yang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di beberapa bahagian bandaraya Brisbane iaitu West End, Yeronga dan Fairfield, tenggelam.

"Namun mereka berjaya dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi selepas diberitahu lebih awal untuk bertindak demikian," katanya.

Menurutnya, pihak persatuan telah menguruskan tempat di mana pelajar perlu berpindah dan dari semasa ke semasa mengumpul maklumat, menghubungi pelajar, Jabatan Pelajar Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Kami memberi bantuan yang termampu seperti makanan dan keperluan lain berbekalkan dana yang terhad. Dengan kerjasama semua pelajar, kami telah berjaya mengurangkan risiko pelajar terperangkap dalam banjir.

"Sehingga ke saat ini semua pelajar adalah selamat. Kami mengharapkan doa dari semua warga Malaysia di tanah air," katanya.

Menurutnya, antara universiti yang terletak berhampiran adalah University of Southern Queensland dan Queensland University of Technology Brisbane.

Laporan berita asing menyebut angka korban terus meningkat kepada 12 orang dan puluhan lagi dilaporkan hilang serta ribuan aset hartanah terancam berikutan air sungai Brisbane yang melimpah.

Banjir terburuk dialami Queensland dalam tempoh seabad itu menyaksikan air berlumpur yang melimpah dari Sungai Brisbane mencapai paras setinggi lampu isyarat di beberapa tempat dengan kira-kira 20,000 rumah tenggelam.

Sekurang-kurangnya 22 orang maut di Queensland, timur laut Australia dalam banjir ekoran hujan yang berlarutan sejak November lalu. - BERNAMA

Artikel Lain