suria

Pasukan Petugas Khas Ditubuh Siasat Penderaan Seksual

GEORGE TOWN: Polis akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyegerakan penyiasatan berhubung penderaan seksual membabitkan kanak-kanak berusia seawal lapan tahun di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini.

Ketua Polis Daerah George Town Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata siasatan sedang dijalankan selepas seorang ahli perniagaan wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis, Rabu.

"Kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana kami akan menyiasat kes ini secara menyeluruh," katanya di sini Khamis.

Dalam laporan polis itu yang didedahkan hari ini mendakwa kanak-kanak berkenaan telah dirogol, diliwat dan dicabul oleh kakitangan, anggota jawatankuasa rumah kanak-kanak itu termasuk sukarelawannya.

Gan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan hubungan seks luar tabii, tanpa kebenaran.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

Dipercayai kejadian itu membabitkan 16 kanak-kanak daripada 35 kanak-kanak yang ditempatkan di rumah itu yang terletak di Penang Road.

Pada Rabu, dua orang mangsa dipercayai di bawah umur, dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan perubatan untuk mengesahkan sama ada mangsa dirogol atau diliwat.

Sementara itu, Setiausaha Lembaga Pengurusan Amy Wong berkata pengerusinya Eustace Nonis akan mengadakan sidang akhbar esok kerana beliau bertugas di luar kawasan. - BERNAMA

Artikel Lain