suria

Najib Gesa Syarikat Malaysia Tingkat Status

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa ketua-ketua syarikat sektor swasta supaya meningkatkan status organisasi mereka daripada hanya syarikat Malaysia kepada peserta serantau dan seterusnya menjadi peneraju global.

Beliau berkata ini merupakan cabaran kepada pemimpin korporat memandangkan Malaysia bergerak ke peringkat berikutnya dalam pembangunan ekonomi daripada ekonomi berasaskan pengeluaran kepada yang dipacu inovasi dan berasaskan pengetahuan.

"Anda perlu berusaha untuk membina syarikat-syarikat bertaraf dunia serta memupuk dan mengekalkan bakat bertaraf dunia," kata beliau semasa berucap pada majlis Anugerah CEO Malaysia 2010 di sini Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perdana Menteri berkata walaupun pelbagai cabaran mendatang dan banyak yang tidak diketahui, satu perkara yang pasti ialah perubahan akan berlaku.

"Anda perlu berkembang dan mengurus perniagaan anda dalam senario perubahan yang tetap," katanya.

Najib berkata kerajaan telah menetapkan pelbagai program seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di mana perubahan dilaksanakan bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi dan menjadi negara berpendapatan tinggi serta memenuhi keperluan rakyat.

"Dalam ekonomi, kita mempunyai tugas yang diperlu dilakukan dan ini termasuk anda, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan anggota sektor swasta.

"ETP tidak akan mencapai matlamatnya jika kita tidak bekerjasama sebagai satu pasukan dengan tujuan yang sama dalam memastikan kejayaan, jadi kejayaan itu juga bergantung kepada komitmen dan pembabitan aktif anda sekalian," kata beliau.

Najib berkata sektor swasta telah memberi komitmen melalui pelaburan berjumlah RM106 bilion bagi 37 projek permulaan yang akan menjana 102,000 pekerjaan baru, daripada 131 projek permulaan dan 60 peluang perniagaan yang dikenal pasti.

Beliau berkata Malaysia sekali lagi mendapat perhatian banyak pengurus dana dan pelabur asing tetapi negara tidak seharusnya selesa memandangkan terdapat pelbagai cabaran untuk ekonomi kecil, terbuka dan bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia.

Masih terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi antarabangsa terutama dalam zon Euro, kata beliau.

Najib juga menyeru CEO yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara supaya menghulurkan bantuan dengan bertindak sebagai pencari bakat dan membantu kerajaan mendapatkan dan mengambil mereka yang tinggal di seberang laut supaya menimbang sejauh mana mereka boleh menyumbang kepada perubahan dan pembangunan negara.

Meskipun berdepan cabaran persekitaran global, syarikat-syarikat Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik dengan mencatatkan keuntungan yang banyak.

"Bagaimanapun, terdapat keperluan bagi anda (CEO) untuk turut menonjolkan diri bukan sahaja melalui keuntungan malah menerusi inovasi, penggunaan amalan yang baik, meningkatkan produktiviti dan daya saing,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corporation Bhd Datuk Seri Stanley Thai meraih anugerah CEO Malaysia 2010.

Maxis Communications Bhd memenangi Anugerah Inisiatif Kenegaraan Korporat 2010 dan The Sunway Group dipilih menerima Anugerah khas bagi Inisiatif Korporat 2010. - BERNAMA

Artikel Lain