suria

Lelaki Warga Nepal Ditemui Mati Di Atas Pokok Kelapa

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Nepal, yang baru tiba di negeri ini untuk bekerja di sebuah kilang papan, ditemui mati di atas pokok kelapa setinggi 50 meter di Kampung Tok Musa, Machang Bubuk di sini Khamis.

Pegawai Bomba II Balai Bomba Bukit Mertajam Rejab Ahmad berkata mayat Danbar Tamang, 30, ditemui penduduk kampung yang pergi ke kawasan ladang kelapa berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 10.04 pagi daripada orang awam dan seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Bomba mengambil masa yang agak lama untuk menurunkan mayat mangsa berikutan keadaan pokok yang tinggi, dan terpaksa menggunakan khidmat seorang penduduk kampung yang merupakan pakar memanjat pokok," katanya kepada pemberita, Khamis.

Rejab berkata mayat mangsa ditemui dengan kesan jerutan tali pinggang di leher serta beberapa kesan luka dan gigitan serangga.

"Mayat mangsa berjaya dibawa turun kira-kira pukul 1.30 petang dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata kes itu disiasat sebagai bunuh diri kerana ada penduduk kampung yang melihat mangsa memanjat pokok itu sejak 10.30 malam Rabu.

Katanya, beberapa penduduk kampung yang ternampak Danbar di atas pokok itu cuba memujuk mangsa supaya turun, bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian sehinggalah ditemui mati pagi ini.

"Penduduk kampung yang sama telah pergi semula ke pokok kelapa terbabit pagi ini dan melihat mangsa dalam keadaan duduk dengan kepalanya ke bawah, mereka yang bimbang dengan keselamatannya, menghubungi polis dan bomba," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar lelaki yang memiliki permit kerja itu membunuh diri. - BERNAMA

Artikel Lain