suria

Lelaki Maut Ketika Cuba Ragut Mangsa Kedua

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki yang cuba meragut seorang wanita, maut apabila motosikal yang dinaikinya merempuh pembahagi jalan berhampiran sebuah kompleks membeli belah di Jalan Tun Razak di sini Rabu.

Lelaki berusia 24 tahun itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala wanita yang cuba diragutnya turut cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaakob berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit sebelum itu telah meragut beg tangan seorang wanita berusia 30-an yang berisi telefon bimbit dan wang tunai di kawasan yang sama.

"Kami percaya lelaki itu tidak berpuas hati dengan hasil ragutnya yang pertama dan cuba meragut seorang lagi wanita lain.

"Tetapi dia hilang kawalan ke atas motosikalnya menyebabkan dia merempuh pembahagi jalan," katanya.

Zainuddin berkata polis percaya lelaki itu terlibat dalam beberapa kes ragut di sekitar bandar raya ini dan polis kini dalam usaha mengesan tempat persembunyian lelaki terbabit dan rakan-rakannya. -BERNAMA

Artikel Lain