suria

Curi Kayu Bakau: Warga Indonesia Dihukum Penjara Dua Tahun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang warga Indonesia kerana memiliki 154 batang kayu bakau secara haram.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Majistret Liew Horn Bin menjatuhkan hukuman itu setelah Salamet Budi, 28, mengaku melakukan kesalahan itu di Perairan Klang, pada 6.30 petang, 26 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM50,000 atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu juga menyebut Salamet, yang diperintah menjalani hukuman mulai Khamis, melakukan kesalahan kerana memiliki kayu bakau berkenaan tanpa membayar royalti, premium dan caj lain kepada kerajaan negeri Selangor.

Jabatan itu berkata sehingga kini, rekod menunjukkan hanya enam pencuri bakau telah didakwa mengikut seksyen berkenaan dan mereka dijatuhi hukuman penjara 11 bulan.

"Peningkatan kadar hukuman dari 11 bulan kepada dua tahun ini diharap dapat memberikan pengajaran kepada penjenayah yang melakukan kesalahan hutan," kata jabatan itu. - BERNAMA

Artikel Lain