suria

Barang Kemas RM100,000 Lesap Dalam 10 Minit

POKOK SENA: Tiga perompak yang bersenjatakan "pump gun" hanya memerlukan masa 10 minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di sini, Khamis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, dua perompak yang memakai topeng muka dan bersarung tangan meluru masuk ke dalam kedai emas itu manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta di luar kedai emas berkenaan.

Katanya dua perompak itu bertindak memecahkan jeriji besi dan cermin pameran yang menempatkan barang kemas lalu melarikan 10 dulang barang kemas dan terus keluar dari kedai itu.

"Ketika keluar mereka melepaskan dua das tembakan untuk menakutkan orang ramai menyebabkan anggota polis yang berada berhampiran mendengarnya. Anggota polis itu kemudian melepaskan tujuh das tembakan ke arah perompak tetapi tidak mengenai sasaran," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Khamis.

Beliau berkata ketiga-tiga perompak itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Wira berwarna putih melalui jalan lama.

"Tiada kecederaan dalam kejadian itu. Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat). Saya minta sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil untuk membantu," katanya.

Zakaria berkata ini merupakan kali kedua kedai emas itu dimasuki perompak dengan kali pertama kira-kira dua tahun lepas melibatkan nilai yang hampir sama.

"Kedai ini kedai emas kecil, tiada CCTV (kamera litar tertutup), alarm, loceng kecemasan dan tiada pengawal. Ciri-ciri keselamatannya jelas longgar.

"Ketika kejadian tiada pelanggan, hanya ada lelaki yang merupakan pemilik kedai," katanya.

Katanya berdasarkan modus operandi perompak, pihaknya percaya kumpulan perompak itu adalah penjenayah yang sama merompak beberapa kedai emas kecil dan yang berada di luar bandar sejak beberapa tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain