suria

Bapa Dan Dua Anak Ditahan Miliki Heroin Di Kuala Kedah

ALOR SETAR: Seorang bapa dan dua anak lelakinya ditahan di sebuah rumah di Jalan Kuala Kedah dekat sini kerana memiliki 26 paket heroin seberat 79.7 gram bernilai RM8,000, Rabu.

Si bapa berumur 58 tahun sementara anak-anaknya berumur 22 dan 23 tahun yang kesemua mereka merupakan penagih dadah.

Yang turut ditahan bersama anak-beranak ini ialah seorang kawan mereka yang berusia 23 tahun.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Supritendan Baharom Abu, mereka ditahan kira-kira 2.15 petang dalam operasi yang diketuai oleh Inspektor Norhidayah Yahya.

"Ketika serbuan, suspek-suspek yang dalam keadaan khayal sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah di ruang tamu rumah itu untuk diedarkan.

"Keempat-empat suspek yang bekerja sebagai peniaga kedai makanan dan nelayan telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak empat tahun lalu di sekitar Kuala Kedah dengan memperoleh bekalan dadah dari Pulau Pinang," kata Baharom.

Dalam satu lagi serbuan Selasa lepas di sebuah rumah di Jalan Putra di sini, polis merampas pula heroin seberat 33.4 gram bernilai RM4,000 daripada seorang pembantu kedai makan berumur 35 tahun.

Heroin tersebut disorok dalam kasut lama yang diletakkan di luar rumah berkenaan.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis telah melempar kasut tersebut dan cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan polis," kata Baharom.

Serbuan pukul 6 petang itu atas maklumat orang ramai diketuai oleh Inspektor Hisham Abd Hamid.

Kesemua kelima-lima suspek direman selama seminggu bermula Rabu dan Khamis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori, kata Baharom. - BERNAMA

Artikel Lain