suria

Tenang: Pilih Calon Yang Boleh Bagi Kemenangan Besar - Khairy

KUALA LUMPUR: Faktor calon yang boleh memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) perlu diambil kira oleh pucuk pimpinan parti bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tenang pada 30 Jan ini, kata Pengerusi Pergerakan Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sesiapa sahaja, baik wanita mahu pun pemuda, wajar dipertimbangkan sebagai calon jika mereka mempunyai peluang besar untuk memenangi pilihan raya itu kelak.

"Kita nak pilih calon terbaik yang boleh bagi BN menang besar... kalau pucuk pimpinan kata calon wanita boleh menang besar kita sokong.

"Jangan letakkan syarat mahu sayap Wanita atau sayap Pemuda sebagai calon, letakkan calon yang boleh meningkatkan kemenangan kita, itu yang kita mahu," katanya kepada pemberita selepas pra-pelancaran Pameran Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2011 (BNJF '11) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai hasrat beliau yang menawarkan diri untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hala tuju ekonomi negara, Khairy berkata beliau tidak meletakkan sebarang syarat jika perdebatan itu setuju dilangsungkan.

Katanya jika Anwar ikhlas mahu berdebat, beliau bersedia dan Anwar perlu melihat perdebatan itu bukan daripada konteks antara kerajaan dan pembangkang tetapi perdebatan antara anggota parlimen dan anggota parlimen yang lain.

Selain itu, beliau menggesa agensi kewangan seperti Unit Perancangan Ekonomi, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Kementerian Kewangan mengeluarkan fakta bahawa perbelanjaan sebanyak RM19 bilion setahun bagi membiayai 'Program 100 Hari Pakatan Rakyat' yang dicanangkan Anwar adalah tidak realistik dan boleh memufliskan ekonomi negara.

"Angka itu tidak realistik dan beliau tidak jelaskan bagaimana untuk membelanjakan RM19 bilion itu... adakah hanya dengan membanteras rasuah? Adakah ia sebegitu mudah?" katanya.

Semalam Anggota Parlimen PKR Permatang Pauh itu mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berhubung 'Program 100 Hari Pakatan Rembangkang" yang menurut Putrajaya akan memufliskan negara.

Bagaimanapun, cabaran itu disambut oleh Khairy menerusi laman tweeter beliau yang menawarkan dirinya menggantikan Najib untuk berdebat dan mengupas mengenai isu tersebut dengan Anwar. - BERNAMA

Artikel Lain