suria

Sidang DUN Selangor 24 Januari Ini

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang antara lainnya dijangka untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 akan diadakan pada 24 Januari ini.

Speaker Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan supaya surat pekeliling pemberitahuan dikeluarkan kepada semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor bagi memaklumkan bahawa persidangan itu akan bermula pada 10 pagi, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Speaker Dun negeri itu di sini, Selasa.

Menurut kenyataan itu, persidangan berkenaan diadakan selepas Teng berpuas hati dengan alasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa ia adalah untuk kepentingan awam.

Urusan perkara mesyuarat dan kertas mesyuarat akan diedar kepada semua Adun kemudian selepas ianya ditetapkan oleh Abdul Khalid.

Kerajaan negeri telah melantik pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Abdul Aziz Bari dan peguam Datuk Param Cumaraswamy bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang bertujuan mengembalikan kepada Sultan dan negeri, kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang ini yang kini terletak pada pertadbiran pusat.

Isu berkenaan tercetus ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. -BERNAMA

Artikel Lain