suria

Pengawal Keselamatan Terima Gaji Baru Akhir Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 100,000 pengawal keselamatan di negara ini dijangka menerima gaji minimum RM700 pada hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohammed berkata kerajaan tidak berganjak daripada keputusan bahawa pelaksanaan gaji minimum itu adalah pada 1 Jan lepas.

Jika ada pengawal keselamatan tidak menerima gaji baru pada 31 Jan ini, mereka harus bertanya kepada majikan dan membuat laporan kepada Pejabat Tenaga Kerja berhampiran sekiranya masih tidak ada perubahan selepas itu, katanya kepada Bernama, di sini pada Rabu.

Sheikh Yahya berkata jabatan itu telah berjumpa dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi menjelaskan keputusan kerajaan tersebut.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan tersebut yang seiring dengan salah satu resolusi yang dibuat mereka pada persidangan bulan lepas.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata resolusi itu meminta kerajaan tidak menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan daripada majikan.

Di bawah skim gaji baru ini, pengawal keselamatan akan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,200 termasuk upah kerja lebih masa.

Pada masa ini gaji mereka adalah sekitar RM450 hingga RM750 bergantung kepada lokasi mereka bekerja.

Sementara itu, tinjauan rambang Bernama pada kalangan syarikat keselamatan mendapati kebanyakan sudah bersedia melaksanakan skim gaji baru tersebut walaupun 'keberatan'.

Ketua Pegawai Eksekutif Eagle Eye Security K. Bahadur berkata syarikatnya akan patuh dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji pekerjanya.

"Kami sudahpun menyediakan gaji baru untuk kira-kira 200 pekerja kami," katanya. Satu lagi majikan yang tidak mahu dikenali berkata syarikatnya tidak mampu untuk menaikkan gaji pekerja, namun akan mematuhi keputusan kerajaan kerana lesen operasi menjadi taruhan.

"Kami harus memperbaharui lesen setiap tahun dan jika kami tidak mematuhi keputusan itu kemungkinan lesen kami tidak akan dapat diperbaharui," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain