suria

Pemandu Lori, Kelindan Ditahan Dipercayai Cuba Seludup Benih Kerang

JOHOR BAHARU: Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua menahan seorang pemandu dan kelindan lori selepas dipercayai cuba menyeludup keluar 70 guni benih kerang di Jeti Nelayan Sungai Suloh, dekat Batu Pahat, petang semalam.

Komandernya ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata kedua-dua lelaki itu ditahan selepas anggota Pasukan Gerakan Marin memeriksa sebuah lori yang sedang diparkir di kawasan jeti nelayan berkenaan kira-kira pukul 5 petang.

"Pemeriksaan ke atas lori itu menemui 70 guni benih kerang yang disembunyikan di ruang penyimpanan bahagian belakang lori berkenaan. Kesemua benih itu dianggarkan bernilai RM2,721.60," katanya menerusi kenyataan, di sini, pada Rabu.

Mohd Khamsani berkata pihaknya percaya kesemua benih kerang berkenaan cuba diseludup ke negara jiran.

Pemandu dan kelindan rakyat tempatan yang berusia lingkungan 30an itu akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana cuba menyeludup keluar benih kerang tanpa kelulusan dari Jabatan Perikanan Batu Pahat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain