suria

PDRM Tumpu Penguatkuasaan Dadah Di Lapangan Terbang Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan menumpukan pengkuatkuasaan di semua lapangan terbang antarabangsa di negara ini dalam usaha membanteras penyeludupan dadah ke Malaysia.

Pengarahnya Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata ini merupakan satu strategi bagi menahan pesalah dadah daripada kalangan warga asing yang menjadikan lapangan terbang sebagai pintu masuk membawa pelbagai jenis dadah.

"Selain menggunakan laluan laut, mereka juga akan menggunakan lapangan terbang antarabangsa bagi membawa dadah antaranya syabu dan kokain ke negara ini," katanya kepada pemberita di Bukit Aman Rabu.

Noor Rashid berkata sindiket penyeludupan dadah menggunakan pelbagai taktik ketika menjalankan kegiatan pengedaran dadah tetapi polis akan lebih bersedia dengan meningkatan bilangan anggota di lapangan terbang selain membuat intipan dan risikan berterusan.

"Kita juga akan meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan negara jiran bagi mengurangkan aktiviti sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di rantau ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain