suria

Muhyiddin Bincang Program Sukarelawan Dengan Hillary Clinton Pada Jumaat

BOSTON: Program Sukarelawan Amerika Syarikat, yang dicadangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilaksanakan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di Asean, adalah antara topik yang akan dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton di Washington pada Jumaat.

Muhyiddin berkata beliau akan mendapatkan input bila program berkenaan dapat dimulakan.

"Sambutan setakat hari ini (terhadap pelan program itu) baik dan ini peluang untuk kita menyusul balik, (tentang) bila rancangan itu dapat dimulakan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Selasa.

Muhyiddin, yang diiringi isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman, berada di Amerika Syarikat dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Boston dan Washington.

Pada pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan pemimpin-pemimpin Asean yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York September tahun lepas, Najib mencadangkan agar Program Sukarelawan yang dikenali American Peace Corps yang begitu popular sekitar 1960-an, dilaksanakan.

Program berkenaan mengandungi tiga matlamat iaitu menyediakan bantuan teknikal, membantu rakyat di luar Amerika Syarikat memahami budaya negara itu dan membantu rakyat Amerika Syarikat memahami budaya negara lain.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan dengan Cinton, banyak perkara lain turut akan disentuh termasuk bagi meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata antaranya usaha untuk meningkatkan hubungan dalam bidang perdagangan dan pelaburan, yang jelasnya menunjukkan peningkatan dari Amerika Syarikat untuk melabur di Malaysia.

Perbincangan juga akan melibatkan kerjasama mengenai hubungan antarabangsa termasuk mendapatkan maklumat terkini berhubung masalah di Palestin serta langkah-langkah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Afghanistan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau akan turut berbincang mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan dan pertahanan pada pertemuan itu.

"Saya harap banyak perkara yang memberi faedah kepada kedua-dua negara dapat dibincang bersama dan boleh menjalinkan hubungan lebih rapat antara Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya.

Pada awal November lepas, Clinton mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dan mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual bertemu Setiausaha Pendidikan Amerika Syarikat, Arne Duncan, di Washington juga pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain