suria

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Beri Rasuah

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu, atas tuduhan memberi rasuah kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun lalu.

Loh Kok Fei, 35, didakwa memberi suapan dalam bentuk wang tunai RM5,000 dan sekeping cek RM5,000 kepada Rumaizi Mohd Amin pada pukul 5.10 petang, 20 Ogos lalu di Berjaya Starbucks Coffee Company di Amcorp Mall, Petaling Jaya, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Rumaizi tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang didakwa telah melakukan kesalahan mencuri elektrik di premis Kilang Sin Thiang Hong Trading Roll, nombor 11, Jalan Mashyur 6, Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk dia menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes tersebut akan disebut semula pada 21 Februari depan.

Pada prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Mohamed Harmy Tan Yusuff manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohammad Haikal Ismail.

Artikel Lain