suria

400 Berarak Sokong Abdul Khalid

SHAH ALAM: Kira-kira 400 ahli Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor berhimpun dihadapan Dataran Shah Alam bagi menyerahkan memorandum menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perhimpunan yang bermula pada pukul 3 petang turut disertai beberapa ahli Parlimen dan pemimpin Pakatan Rakyat(PR) antaranya ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar, Dr Badrul Amin Bahrom.

Mereka yang menyertai demonstrasi aman itu berarak kira-kira empat kilometer menuju ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dengan membawa sepanduk "Kami Sokong Menteri Besar, Hidup-Hidup Rakyat, Kami Menyokong Penuh Kepimpinan PR".

Namun kira-kira 500 meter daripada Bagunan SSAAS 50 orang polis anti-rusuhan membuat sekatan bagi mengawal keadaan dan menghalang mereka yang menyertai demonstrasi memasuki bagunan kerajaan negeri.

Selepas berbincang dengan pegawai polis yang terbabit hanya lima orang wakil dibenarkan masuk dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.

Mereka ialah, Badrul Amin, Khalid Samad, Shamsul Iskandar, Abdul Razak Ismail dan Abdullah Sani.

Menteri Besar bersama barisan exco kemudian turut serta bersama peserta demonstrasi di luar perkarangan SSAAS dan nyata terharu dengan sokongan tersebut.

"Saya terharu atas sokongan dan berjanji akan menunaikan tanggungjawab berlaku amanah,bersih dan cermat mentadbir negeri," kata Abdul Khalid.

Dalam pada itu, Badrol Amin pula mencabar kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Kuasa ini telah dirampas pada tahun 1993," katanya disambut sorakan daripada peserta demo.

Tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang demonstrasi itu berlangsung.

Pada masa yang sama, MBSC turut melancarkan memorandum "Sejuta Tanda Tangan" bagi meraih sokongan rakyat Selangor yang mendukung penuh kepimpinan Khalid Ibrahim.

Artikel Lain